Bukan roboh tokong...



Kuala Lumpur: Bukan untuk merobohkan tokong sebaliknya mahu membina pagar penghadang bagi pembinaan jalan untuk laluan ke sekolah di Jalan Sungai Besi.


Tular di media sosial tindakan kira-kira 30 individu yang bertindak menghalang, memecahkan jengkaut dan menyerang anggota polis di lokasi berkenaan.


Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur bertindak membina pagar penghadang bagi pembinaan jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah di lokasi berkenaan bermula jam 11.45 pagi hingga 4 petang tadi.


"Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi membina pagar penghadang itu.


"Namun ketika operasi dijalankan, terdapat kira-kira 30 individu yang membawa kayu dan besi bertindak menghalang dan memecahkan jengkaut selain menyerang anggota polis yang bertugas di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurutnya, dalam kejadian itu empat lelaki berusia antara 19 hingga 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 148/186.


"Difahamkan kumpulan berkenaan bertindak sedemikian kerana tidak puas hati dengan pembinaan jalan bersebelahan tokong terbabit yang didakwa menyebabkan kawasan tokong itu menjadi sempit.


"Satu video berkaitan isu itu dimuat naik di Facebook (Fb) bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi. Justeru itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam.


"Pihak polis Daerah Cheras menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian itu," katanya.


Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintendan Mohamad Sukri Ishak di talian 013-2165881 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.


Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 16 saat menunjukkan sekumpulan individu bersenjatakan besi dan kayu menyerang anggota polis serta memecahkan jengkaut di lokasi berkenaan yang tular di media sosial, hari ini.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!