Datuk, nenek mahu jaga 8 beradik kehilangan ibu bapa kerana Covid-19


Jerantut: Pasangan warga emas di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini, berhasrat untuk menjaga lapan cucunya selepas ibu bapa mereka meninggal dunia kerana Covid-19.

Ibrahim Ali dan Bedah Rusi, masing-masing berusia 68 tahun mahu menjaga cucu mereka itu selepas anaknya, Noraini, 43, meninggal dunia pada 18 Julai lalu dan menantunya, Ben Yazeed Bernie, 45, menghembus nafas terakhirnya dua hari sebelum itu.

Kesemua cucunya mereka itu kini masih tinggal di Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Ibrahim, seorang peneroka tanah rancangan itu berkata, sejak kematian anak dan menantunya, mereka masih lagi belum dapat berjumpa dengan cucunya di Bukit Beruntung disebabkan sekatan daerah dan negeri.


"Kami hanya bercakap dengan cucu menggunakan telefon bimbit melalui aplikasi WhatsApp untuk bertanyakan khabar mengenai kesihatan, makan minum dan nasihat serta panduan menjaga diri masing-masing.

"Mereka itu adalah darah daging kami, siang malam saya dan isteri sentiasa teringat cucu di sana dan sekiranya dibenarkan, kami ingin segera ke Bukit Beruntung ," katanya.

Ibrahim berkata, oleh kerana lapan cucunya sudah tiada tempat bergantung menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk membawa dan menjaganya di Felda Gelanggi Dua kelak.

Menurutnya, ketika ini, anak sulung kepada Noraini dan Ben Yazeed, Nazurah Nabilah, 19, penuntut Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Politeknik Sultan Azlan Shah di Behrang menjaga tujuh adiknya yang berusia empat hingga 18 tahun. sambil dibantu oleh keluarga bapa saudaranya yang menetap di tempat sama.

Ibrahim berkata, selepas Noraini dan Ben Yajeed Bernie meninggal dunia, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sangat mengambil berat dengan kebajikan serta nasib lapan beradik itu.

"Kerajaan negeri segera meluluskan peruntukan pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 secara percuma berdekatan kediaman saya ini.

"Saya amat berterima kasih kepada Menteri Besar Pahang dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar Datuk Nazri Ngah serta Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) yang turut membantu sehingga kerajaan negeri meluluskan segera bantuan RRP termasuk tapak pembinaan rumah," katanya.

Menurutnya, dia juga bersyukur kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri pernah menziarahi cucunya pada penghujung Julai lalu sambil menghulurkan bantuan untuk pendidikan dan kebajikan mereka itu.

- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!