Penunggang motosikal maut terlanggar lembu


Sungai Petani: Malang menimpa seorang penunggang motosikal apabila maut akibat melanggar lembu yang berkeliaran di Kilometer 91.3 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), dekat sini, malam tadi.


Malah di lokasi yang sama, sebuah kereta yang dinaiki pasangan suami isteri berhadapan situasi yang sama apabila gagal mengelak lembu itu namun tidak mengalami sebarang kecederaan.


Dalam kejadian jam 9.10 itu, mangsa Qairul Idham Baharuddin, 27, yang bekerja sebagai pemandu kren meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan dan kepala.


Ketika kejadian mangsa yang bekerja di Pulau Pinang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Gurun Jaya.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abd Rahman berkata, mangsa tidak sempat mengelak dan melanggar lembu berkenaan yang berkeliaran di lebuh raya terbabit.


"Siasatan awal mendapati terdapat tiga lembu berkeliaran di lebuh raya dan mangsa tidak nampak haiwan terbabit sebelum melanggar seekor daripadanya.


"Sebuah lagi kereta dinaiki pasangan suami isteri turut melanggar seekor lagi lembu, namun mereka tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Difahamkan, kereta dinaiki pasangan yang dalam perjalanan dari Hospital Pulau Pinang ke Perlis itu turut remuk di bahagian hadapan.


Anuar berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Shah (HSAH) untuk bedah siasat.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!