Sittah Annur bertaubat secara terbuka esok



Kuala Lumpur: Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Sittah Annur, 39, akan mengumumkan pengisytiharan taubat (Istitabah) secara terbuka esok.


Sittah atau nama sebenarnya Masitah Ab Jalar akan membuat pengisytiharan itu menerusi Facebook (FB) rasmi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada jam 10 pagi.


Sumber berkata, majlis akan dihadiri Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir; Pengarah Jais Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh.


"Masitah dijangka akan membaca teks Istitabah dan menandatangani dokumen perakuan taubat yang akan disaksikan empat saksi utama.


"Majlis dijangka selesai selepas teks dan perakuan taubat ditandatangani," katanya kepada Harian Metro.


Menurut sumber, kebiasaannya selepas dokumen perakuan taubat dibuat, waran tangkap terhadapnya juga terbatal.


Ajaran PMYT mula didedahkan secara eksklusif akhbar ini pada 29 Ogos lalu yang pendedahannya disambut dengan siri laporan polis terhadap kumpulan itu di seluruh negara.


Untuk rekod, terdapat 13 laporan polis dibuat terhadap kumpulan itu.


Wanita berasal dari Kelantan dan menetap di Shah Alam itu dikesan sejak enam bulan lalu menggunakan media sosial seperti FB, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan termasuk Perang Dunia Ketiga kononnya berlaku di Sabah sebelum dia memimpin pasukannya untuk mencari Imam Mahdi bagi melawan musuh.


Dia kemudian ditahan polis sebelum membongkar penemuan dana sumbangan pengikutnya sebanyak RM84,721.42.


Ia hasil penemuan satu resit ketika serbuan dilakukan pihak berkuasa di rumahnya di Shah Alam.


Susulan pendedahan itu juga, selain mufti negeri, pihak berkuasa agama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin turut mengarahkan polis mengambil tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) kepada mana-mana individu yang cuba menimbulkan kegusaran, menakut-nakutkan dan mengganggu ketenteraman awam termasuk kepada kumpulan PMYT.


Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, selain tindakan penguatkuasaan antara pihak berkuasa, pihaknya juga akan berusaha selamatkan pengikut kumpulan PMYT.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!