Boleh didenda, penjara jika masih degil



Kuala Lumpur: Mereka yang masih berdegil selepas nasihat diberikan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) mengenai larangan menunggang skuter elektrik di atas jalan raya boleh didenda atau penjara jika mengulangi perbuatan itu buat kali kedua.


Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim berkata, pihak polis menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai tindakan penunggang skuter elektrik menunggang di jalan raya di bandar.


Menurutnya, penggunaan skuter elektrik di atas jalan raya atau kawasan selain yang digazetkan di ibu negara adalah dilarang dan tindakan undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 boleh dikenakan terhadap individu yang ingkar.


"Penggunaan skuter elektrik hanya dibenarkan di tempat yang digazetkan seperti di taman permainan, kawasan pejalan kaki dan kawasan sekitar pusat beli-belah di ibu negara.


"Sehubungan dengan itu penunggang skuter elektrik tidak dibenarkan menggunakannya di atas jalan raya kerana ia mengganggu pengguna jalan raya yang lain, boleh mendatangkan bahaya atau terlibat dengan kemalangan jalan raya," katanya kepada Harian Metro.


Mat Kasim berkata, JSPT akan memantau orang ramai yang bermain skuter itu di atas jalan raya dan mengambil tindakan sewajarnya.


"Namun begitu pendekatan advokasi akan dijalankan dan hanya menasihatkan terlebih dahulu.


"Setelah dikuatkuasakan, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 54 APJ 1987 dengan kesalahan pertama didenda sebanyak RM300 dan kesalahan kedua, boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara tiga bulan," katanya.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!