Kes nahas, kemalangan maut meningkat ikut fasa PKP



KUALA LUMPUR: Sebanyak 566,760 kes kemalangan dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh Mac tahun lalu hingga pertengahan minggu ini, dengan trend peningkatan setiap kali peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Daripada keseluruhan kes direkodkan sejak 18 Mac 2021 hingga Rabu lalu itu, sebanyak 5,412 membabitkan kemalangan maut yang menyaksikan 5,739 kematian.


Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mat Kasim Karim, berkata jumlah nahas jalan raya menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa ketika peralihan fasa PKP sejak ia dilaksanakan bermula Mac tahun lalu.


Katanya, beberapa fasa PKP yang dilaksanakan termasuk PKP 1, PKP 2 dan PKP 3, selain Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).


"Saya mengambil data bagi pelaksanaan PKP 1 yang merekodkan sebanyak 5,948 kemalangan, membabitkan 51 kemalangan maut dan 58 kematian, manakala PKP 2 pula mencatatkan 4,693 kemalangan meliputi 54 kemalangan maut serta 56 kematian.


"Bagi tempoh PKP 3 pula, sebanyak 6,011 kemalangan direkodkan, membabitkan 63 kemalangan maut dan 65 kematian, manakala ketika PKPP pula, sebanyak 102,240 kemalangan dilaporkan dengan 835 kemalangan maut serta 907 kematian," katanya hari ini.


Mat Kasim berkata, terdapat tiga punca utama menyebabkan kemalangan maut iaitu terbabas sendiri, kecuaian dan cubaan memotong atau tukar laluan.


Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan ditingkatkan bagi menentukan kepatuhan pengguna kepada peraturan serta undang-undang jalan raya, sekali gus mengurangkan kes kemalangan termasuk kemalangan maut.


"Kebenaran rentas negeri ketika ini juga akan memberikan impak baharu kepada aliran trafik di semua jalan raya dan peningkatan kadar kemalangan berdasarkan trend semasa," katanya.


Susulan itu, katanya, polis mencadangkan supaya pengguna jalan raya mengamalkan kawalan kendiri yang tinggi serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.


"JSPT akan melaksanakan penguatkuasaan sepenuhnya bagi mengurangkan kemalangan jalan raya terutama kemalangan maut ekoran pertambahan jumlah kenderaan. Langkah ini membabitkan semua lapan operasi utama JSPT yang akan dipertingkatkan," katanya.


Selain itu, Mat Kasim berkata, penguatkuasaan JSPT yang menyeluruh akan digunakan bagi menyuraikan kesesakan aliran kenderaan di semua jalan raya.


"Ia dibuat selepas mengambil kira pertambahan jumlah kenderaan yang dijangka berlaku dengan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila peraturan dilonggarkan. Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menentukan diri kekal cergas semasa pemanduan," katanya.


- Berita Harian 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!