Seronok bercuti, tak sedar anak hilang



Port Dickson: Ramai ibu bapa yang mengunjungi pantai peranginan di sini didapati leka dan tidak memantau anak kecil masing-masing ketika beriadah.


Ia susulan kejadian tiga kanak-kanak berusia dari tiga hingga empat tahun dikesan terpisah daripada keluarga mereka sewaktu beriadah di Pantai Teluk Kemang di sini sejak Ahad lalu.


Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Port Dickson, Kapten PA Mohamad Azri Abu Hassan berkata, pihaknya menerima tiga kes kanak-kanak hilang ketika anggotanya bertugas memantau keselamatan orang awam di Menara Tiga, Teluk Kemang.


"Kejadian pertama berlaku jam 1.30 tengah hari membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun. Kanak-kanak itu dibawa orang awam ke menara peninjau selepas didapati terpisah daripada ibu bapanya.


"Kejadian kedua pula berlaku jam 2 petang apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang juga dibawa orang awam ke menara bertugas.


"Manakala kejadian ketiga berlaku pada jam 5.30 petang apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun ditemui merayau tanpa penjaga," katanya tadi.


Beliau berkata, anggotanya yang menerima laporan berkenaan bertindak mencari keluarga tiga kanak-kanak terbabit di sepanjang pantai sejauh satu kilometer (km).


"Meskipun ia di luar bidang tugas hakiki kami namun APM berusaha menjejaki dan mencari ahli keluarga kanak-kanak terbabit.


"Dalam keghairahan orang ramai bercuti bersama keluarga, ibu bapa diminta memantau anak masing-masing kerana kanak-kanak yang terpisah itu baru berusia tiga dan empat tahun.


"Kanak-kanak ini berisiko ke kawasan air atau ke tempat yang lebih jauh memandangkan kawasan peranginan di sini sesak pada hujung minggu lalu," katanya.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!