Tragedi api dapur, tiga beranak hilang tempat tinggal



Marang: Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Kampung Kubu, di sini, musnah dalam kebakaran yang dikatakan berpunca daripada api dapur.


Kejadian jam 1.15 petang itu juga menyebabkan mereka kerugian hampir RM100,000.


Mangsa, Fatimah Jusoh, 61, berkata, ketika kejadian, dia sedang menggoreng ikan di dapur manakala anak perempuannya, Habibah Hassan, 20, berada di tangga rumah.


Menurutnya, ketika menggoreng, minyak di dalam kuali disambar api dan menjulang sebelum menyambar kabinet kayu berhampiran dapur.


"Melihat api membakar kabinet kayu, saya dan anak panik sebelum mengambil keputusan keluar daripada rumah untuk meminta tolong," katanya.


Katanya, ketika itu api semakin marak sebelum jiran menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan.


Katanya, ketika kejadian, suami, Hassan Yaakob, 64, sedang berniaga ubatan tradisional di Pasar Manir.


"Selain kediaman yang dibina 40 tahun lalu, saya dan anak turut kehilangan beberapa utas barang kemas yang hangus dan beberapa bungkusan toto terpakai milik anak lelaki yang kini bekerja di Singapura," katanya hari ini.


Katanya, kini, mereka ditempatkan sementara di rumah mesra rakyat di kampung berkenaan.


Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Wakaf Tapai, Zulikifli Md Akhir berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran jam 1.15 petang.


Katanya, sebanyak dua jentera bomba masing-masing dari BBP Wakaf Tapai dan Marang bersama 16 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian.


"Api berjaya dipadam sepenuhnya jam 3.50 petang. Anggaran kerugian sebenar dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!