Anggota polis rebah sebelum meninggal dunia



Chukai: "Dia ada mengadu sakit dada beberapa hari lalu dan tidak sangka dia akan pergi meninggalkan saya," kata Norazilla Mohd Yusuff selepas suaminya, Lans Koperal Mohd Nor Afiza Mohd, 36, meninggal ketika sedang melakukan rondaan, malam tadi.


Norazilla, 32, berkata, suaminya itu yang bertugas di Balai Polis Chukai, Kemaman rebah sebelum disahkan meninggal dunia pada 9 malam.


Menurutnya, suaminya menghidap penyakit jantung dan darah tinggi dan dia tetap komited dalam menjalankan tugas.


Katanya, semalam suaminya bekerja syif petang dan mengadu sakit dada serta letih sebelum dia mengurut kaki dan badannya.


"Suami minta saya masak kari ikan dan dia sempat makan lauk itu sebelum ke tempat kerja.


"Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kali terakhir kami berhubung pada 5 petang.


"Saya terima panggilan daripada rakan setugas yang memaklumkan kejadian itu, saya ingat suami pengsan seperti sebelum ini," katanya.


Norazilla berkata, sebaik tiba di Hospital Kemaman, dia sangat sedih apabila pegawai perubatan memaklumkan suaminya meninggal.


Menurutnya, jenazah suami dibawa ke kampung asalnya di Bukit Besi, Dungun untuk dikebumikan, hari ini.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika menjalankan tugas, Mohd Nor Afiza meminta rakan setugas memberhentikan kenderaan MPV di sebuah stesen minyak.


Beliau berkata, sebaik keluar dari itu, arwah tiba-tiba rebah sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman dan disahkan meninggal.


"Arwah bertugas selama 15 tahun dan meninggalkan seorang isteri bersama empat anak berusia setahun hingga 12 tahun.


"Arwah sentiasa disenangi rakan setugas yang lain termasuk masyarakat setempat," katanya.



- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!