Dua anggota polis makan rasuah kerana air ketum



JOHOR BAHRU – Dua anggota polis mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah, termasuk menerima suapan sebanyak RM4,500, Mac tahun lalu.


Tertuduh, Lans Koperal Farid Rosni, 35, dan Konstabel Clinton Kudang Gangga, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal.


Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa meminta suapan wang tunai RM10,000 daripada Muhammad Amirul Hafiz Azmi, 23, sebagai dorongan untuk tidak melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya yang ditahan kerana memiliki air ketum di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Melayu, Pandan, Johor Bahru, pada pukul 6.30 petang, 10 Mac tahun lalu.


Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntuk penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.


Sementara bagi pertuduhan kedua, mereka berdua didakwa bersetuju menerima suapan RM4,500 daripada Muhammad Amirul sebagai dorongan melepaskan lelaki itu dan rakannya, jam 9.45 malam di lokasi, waktu dan kesalahan sama.


Manakala bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa memperoleh suapan wang tunai RM4,500 daripada Rafsanjani Rosli, 33, sebagai dorongan melepaskan Muhammad Amirul dan rakannya pada pukul 10 malam di lokasi, waktu dan kesalahan sama.


Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 masing-masing mengikut mana yang lebih tinggi.


Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Pauzi, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien dan Muhammad Faizuddin Abd. Ra’fik.


Nur Mahirah menawarkan jaminan masing-masing RM20,000 terhadap tertuduh.


Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM5,000 dan seorang penjamin serta menetapkan 28 Disember ini sebagai tarikh sebuatan semula kes dan serahan dokumen.


-K! ONLINE



LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!