Dua premis dikesan curi air terawat



Seremban: Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu dua premis yang disyaki mencuri air terawat di sini, semalam.


Ketua Jabatan Komunikasi Korporat SAINS, Norzita Ismail berkata, serbuan diketuai pegawai SPAN, Muhammad Naqib Aniq Abdul Kahar daripada Bahagian Penguatkuasaan SPAN (BSP SPAN) dan Unit Penguatkuasaan SAINS.


"Serbuan pertama dijalankan terhadap sebuah rumah kongsi pekerja binaan di Sendayan dan siasatan mendapati penghuni premis melakukan satu penyambungan tidak sah menggunakan paip High Density Polyethlene (HDPE) bersaiz 25mm tanpa melalui sebarang meter.


"Bekalan air melalui sambungan tidak sah itu untuk kegunaan harian pekerja warga asing di situ," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, serbuan kedua dilakukan terhadap sebuah kedai dua tingkat sedang diubahsuai di Seremban 2 dan penghuni premis didapati melakukan penyambungan tidak sah tanpa melalui sebarang meter dengan menggunakan paip Unplasticized Polyvinyl Chloride (UPVC) bersaiz 25mm.


Menurutnya, bekalan air melalui sambungan tidak sah digunakan untuk kerja membancuh simen bagi pengubahsuaian kedai.


"Kes pertama kes disiasat mengikut Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 manakala kes kedua disiasat mengikut Seksyen 89(9) akta sama.


"Pegawai penguatkuasa SAINS turut menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air digunakan adalah air terawat milik SAINS.


"Pihak SPAN menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti," katanya.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!