Keluarga minta henti sebar gambar, video kemalangan



Kuala Terengganu: Keluarga kepada Mohd Azizi Jaafar, 37, yang rentung selepas kereta dipandunya terbakar di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas di sini, semalam meminta orang ramai berhenti menyebarkan gambar dan video berhubung kejadian itu.


Keluarga mangsa juga meminta orang ramai tidak mengaitkan kejadian menimpa arwah Mohd Azizi dengan satu lagi kejadian kebakaran kereta yang berlaku di Marang, kelmarin.


Sepupu, Khairul Muslimin Musa, 40, berharap semua pihak dapat memahami dan menghormati perasaan mereka sekeluarga yang kehilangan mangsa dalam sekelip mata.


"Saya mohon orang ramai berhenti sebarkan apa sahaja gambar atau video serta membuat pelbagai andaian mengenai kebakaran berkenaan.


"Biar pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran itu selain tidak mengaitkan kejadian di Marang dengan arwah bagi menjaga perasaan kami terutama isteri, anaknya yang masih kecil dan keluarga arwah yang sedang bersedih.


"Kami bukan sahaja kehilangan arwah tetapi kehilangan bapa arwah (Jaafar Abdullah, 76) yang menghembuskan nafas terakhir di rumah di Kampung Wakaf Mempelam di sini pagi tadi," katanya ketika ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini.


Sementara itu, anak saudara kepada arwah Mohd Azizi, Mohamad Izzat Hasyimi Zulkifli, 26, berkata, dia yang berada di luar menerima panggilan daripada ibu saudaranya memaklumkan ada kecemasan sebelum dia bergegas pulang ke rumah.


"Ketika itu, saya ingat ada sesuatu menimpa Tok Ki (Jaafar) tetapi sebaik tiba di rumah, ibu saudara bagi tahu kereta bapa saudara terbakar sebelum segera ke lokasi kejadian.


"Sebaik tiba di tempat kejadian, api juga sudah dipadam dan arwah juga sudah tiada," katanya.


Mohamad Izzat Hasyimi berkata, dia memang tinggal bersama arwah datuk dan arwah bapa saudaranya bersama nenek, ibu saudara dan tiga sepupu.


Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Baru Kampung Wakaf Mempelam di sini, 1.30 tengah hari tadi.


Media sebelum ini melaporkan seorang mekanik rentung selepas kereta dipandunya terbakar di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Wakaf Beruas di sini, semalam.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!