Murid maut, sepupu parah, basikal elektrik dilanggar kereta



Setiu: Dua maut, manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kereta, sebuah basikal elektrik dan pejalan kaki di Jalan Bukit Putera di sini, semalam.


Mangsa maut adalah pejalan kaki, Azuka Muhamad, 46, dan pembonceng basikal elektrik, Muhammad Adif Danial Azman, 10, selepas kedua-duanya parah pada anggota badan dalam kejadian 7.10 malam itu.


Turut cedera, sepupu kepada Muhammad Adif Danial yang juga penunggang basikal elektrik, Ahmad Syahiran Saiful Razali, 13.


Ketika kejadian, Muhammad Adif Danial dan Ahmad Syahiran dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bukit Putera selepas menyaksikan pertandingan bola sepak berhampiran rumah mereka.


Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin berkata, kejadian dipercayai apabila Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 36 tahun dalam perjalanan dari arah Telaga Papan menghala Bukit Putera.


Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta terbabit dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar basikal elektrik dinaiki dua sepupu terbabit.


"Kereta turut melanggar sebuah Proton Wira yang diparkir di bahu jalan sehingga menyebabkan kenderaan sama bergerak dan melanggar seorang lagi mangsa yang juga pejalan kaki.


"Kejadian itu menyebabkan pejalan kaki terpelanting ke atas Proton Persona yang diparkir di bahu jalan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.


Afandi berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk bedah siasat, manakala mangsa parah dirawat di hospital sama.


Beliau berkata, pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!