Remaja ditemukan dengan separuh badan, dua tangan hilang



Tanjung Manis: Mayat remaja lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Batang Paloh, di sini, malam Khamis lalu ditemukan dengan separuh badannya dan kedua-dua tangannya hilang dipercayai dibaham buaya, hari ini.


Mangsa, Alex Rudy Roy Ali, 17, ditemukan terapung oleh penduduk kampung pada 9.30 pagi, di jarak kira-kira dua kilometer dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya mengambil mayat berkenaan dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


"Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak lengkap apabila bahagian pinggang ke bawah dan tangannya didapati hilang," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, berdasarkan keterangan rakannya, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, Khamis lalu, mangsa bersama dua rakannya sedang duduk di jeti di tepi sungai berhampiran dengan rumah panjang, Rumah Wun, Bekarkong, Tanjung Manis.


Bagaimanapun, mangsa tiba-tiba berkelakuan pelik apabila tiba-tiba menanggalkan bajunya tanpa berkata apa-apa dan terus terjun ke dalam sungai.


Menyedari mangsa tidak muncul semula di permukaan selepas tiga minit, dua rakannya turut terjun ke dalam sungai untuk mencarinya, namun usaha mereka gagal.


Mereka kemudian memaklumkan kejadian kepada penduduk rumah panjang sebelum bomba dimaklumkan mengenainya pada jam 11.11 malam, Khamis lalu.


Operasi mencari dan menyelamat mangsa diaktifkan sebaik menerima maklumat itu, namun keadaan gelap menyukarkan pencarian.


Operasi kemudian diteruskan semalam membabitkan empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis dengan bantuan penduduk kampung.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!