Tauke Jambu kahwin lagi?



PETALING JAYA – Nama pelawak sensasi Tauke Jambu sekali lagi menjadi bahan buah mulut ramai selepas sebuah video memaparkan dia didakwa bernikah dengan seorang wanita bernama ‘Shu’ tular dalam media sosial semalam.


Dakwaan tersebut tercetus selepas seorang pengguna TikTok @piddyys memuat naik sebuah video seorang wanita mengucapkan tahniah kepada Shu atas pernikahannya hari ini.


Turut kelihatan dalam video sama ialah Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 45, yang lengkap memakai persalinan baju Melayu berwarna putih sedondon dengan wanita terbabit.


“Yang bertanya sama ada itu Tauke atau tidak, ya memang dia. Kita doakan yang baik-baik sahaja,” tulis pemilik video tersebut dalam ruangan komen sekaligus menjawab pertanyaan ramai.


Sementara itu, menjengah ruangan komen, netizen mula membanjirinya dengan ucapan tahniah dan mengakui turut berasa terkejut dengan pernikahan tersebut.


“Susah nak percaya. Adakah ini hanya penggambaran atau dia berpoligami?,” komen netizen.


“Wah! Tauke kahwin lagi. Kalau betul cerita ini, Alhamdulillah,” tulis seorang lagi pengguna TikTok.


Tidak kurang juga ada yang mula mempertikaikan dengan mengira bilangan perkahwinan Tauke sebelum ini.


Untuk rekod, Tauke pernah menafikan dia menceraikan isterinya, Nadia Mohd Effandi menerusi rakaman suara yang dihantar dalam aplikasi WhatsApp seperti didakwa isterinya pada Januari 2019.


Difahamkan, keretakan rumah tangga mereka berpunca daripada kehadiran orang ketiga dan mula berantakan selepas bekas kumpulan pelawak Jambu itu didakwa curang dengan seorang wanita.


Tauke dan Nadia mendirikan rumah tangga pada 9 Disember 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Zamatul Khayla Aydina kini berusia tiga tahun.


Terdahulu, namanya pernah terpalit dengan kontroversi apabila mengaku ditahan oleh pihak berkuasa bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pemerdagangan manusia sekitar Ogos lalu.


Kemudian, pada 24 Ogos lalu, polis mengesahkan seorang pelawak yang sebelum ini ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes tersebut pada awal Ogos lalu tidak didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


Malah, Tauke juga berharap masyarakat berhenti mengecopnya sebagai bapa ayam seperti yang dilabel oleh orang ramai. 


– K! ONLINE



LAZADA 11.11

LAZADA 11.11

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!