2 beradik maut selepas hadiri perkahwinan abang



Kuala Krai: Perjalanan dua beradik yang baharu selesai menghadiri kenduri perkahwinan abang mereka berakhir dengan tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di KM89, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran simpang Manek Urai, petang tadi.


Dalam kejadian pada 3.15 petang itu, mangsa yang juga penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, Johor, Wan Abdul Azim Wan Zamani, 25, dan abangnya, Wan Abdullah, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian.


Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu lori berusia 45 tahun dari arah Manek Urai menghala ke Kuala Krai.


"Namun setibanya di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Saga yang dipandu Wan Abdul Azim hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar lori dari bahagian hadapan.


"Ketika perlanggaran itu berlaku, Wan Abdul Azim dan Wan Abdullah dalam perjalanan dari arah Bachok menghala ke Kuala Lumpur selepas menghadiri kenduri perkahwinan abang mereka.


"Akibat daripada perlanggaran itu kedua-dua mereka tersepit dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.


"Pemandu lori tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.


Suzaimi berkata, kemalangan yang berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang gagal mengawal kenderaan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah lori sehingga menyebabkan kematian.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.


Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada 3.59 petang.


"Dua mangsa dilaporkan tersepit dan kami menggunakan alat peralatan khas dan pemotong bagi mengeluarkan kedua-dua mangsa yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


"Kedua-dua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!