2 marsyal termasuk 'Datuk' serah diri



Port Dickson: Dua lelaki yang dipercayai dirakam terbabit dalam aksi lagak marsyal di jalan awam sudah hadir ke Balai Trafik Port Dickson di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kedua lelaki berusia 45 dan 49 tahun itu hadir pada pada 12.45 tengah hari dan 2.30 petang untuk memberi keterangan berkaitan video tular di media sosial.


"Kedua-dua lelaki termasuk seorang daripadanya bergelar Datuk hadir ke Balai Trafik sejurus mengetahui aksi mereka dirakam dan tular di media sosial.


"Polis menahan kedua-dua lelaki yang juga ahli perniagaan dan ejen insurans itu," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.


Menurutnya, polis turut menahan dua motosikal berkuasa tinggi dan beberapa barangan yang digunakan kedua-dua marshal berkenaan seperti yang dirakam.


"Siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh termasuk jika wujud kesalahan lain," katanya.


Kelmarin, dilaporkan polis mencari kumpulan motosikal berkuasa tinggi yang berlagak marsyal di jalan awam selepas rakaman video berdurasi tiga minit tular di media sosial.


Rakaman itu menunjukkan penunggang motosikal berkuasa tinggi itu memberi arahan kepada sebuah kenderaan supaya memperlahankan kenderaannya dan bergerak ke kiri lorong jalan bagi memberi laluan kepada kumpulan konvoi terbabit.


Berdasarkan rakaman itu, dipercayai konvoi itu bergerak dari arah Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka melepasi kawasan Jalan Tanjung Agas, Pasir Panjang di sini.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!