'Arwah teruja baru dapat lesen memandu, nak jalan jauh'



Setiu: "Arwah adik saya teruja baru dapat lesen memandu dan berhasrat mahu bercuti panjang bawa keluarga berjalan-jalan," kata Nur Muhaimin Abdul Aziz.


Nur Muhaimin, 37, adalah abang sulung kepada tiga beradik yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Telaga Papan, di sini, petang semalam ketika dalam perjalanan merakam gambar meraikan perkahwinan kakak mereka, di Pantai Penarik Rhu 10.


Dalam kejadian pada 6 petang itu, seorang mangsa yang juga guru, Nurul Salikin Abdul Aziz, 25, yang memandu kereta Honda City disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Setiu.


Manakala dua penumpang yang juga adik mangsa dikenali sebagai Siti Nur Ummi Nabihah, 19, penumpang hadapan dan Nur Qaseh Balqis, 10, penumpang belakang parah.


Muhaimin berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah ketika di majlis meraikan dua pasangan adik beradik mereka yang melangsungkan majlis perkahwinan, semalam.


"Semasa kejadian itu, arwah berkonvoi tiga kereta bersama sepasang pengantin yang juga adik saya nombor tujuh dan kereta arwah berada di tengah manakala kereta belakang dinaiki jurufoto perkahwinan.


"Satu lagi pasangan pengantin iaitu adik nombor enam sudah keluar lebih awal melakukan sesi bergambar di Pantai Mangkuk.


"Adik nombor tujuh sudah bernikah pada Februari lalu tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dia melangsungkan majlis persandingan sekali dengan kakaknya, semalam," katanya.


Menurutnya, arwah adalah anak kelapan daripada 13 adik beradik dan sangat rapat dengan keluarga serta disenangi rakan sekerjanya di sekolah.


Katanya, arwah berhajat mahu menghantar sendiri datuknya pulang ke Pulau Pinang dengan menaiki kereta selepas selesai majlis perkahwinan semalam.


"Pemergiannya amat dirasai keluarga dan rakan kerana arwah pergi secara mengejut tanpa menunjukkan sebarang perubahan ketara.


"Ummi dan Qaseh dipindahkan daripada Hospital Setiu ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu malam tadi.


"Kedua-dua adik saya sudah sedar, mereka cedera di muka dan beberapa bahagian badan lain serta sedang menjalani rawatan rapi di hospital," katanya.


Muhaimin berkata, arwah Nurul Salikin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Chalok Kedai, hari ini.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!