Maut tercampak dari kenderaan



Rawang: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kereta dipandunya dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 32 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Sungai Choh. 


Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Ridzuan Khalid berkata, kejadian jam 6.20 pagi itu membabitkan Perodua Kancil, Proton Wira serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan sebuah lori.


Katanya, kemalangan itu dipercayai berlaku ketika lori yang dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun dalam perjalanan dari Serendah menghala ke Rawang untuk mengambil muatan batu kuari.


"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kancil dipandu mangsa berusia 25 tahun dari arah bertentangan melanggar bahagian tayar belakang lori terbabit.


"Pelanggaran itu menyebabkan Perodua Kancil berkenaan terbalik dan menghempap Perodua Alza dipandu seorang penuntut lelaki berusia 23 tahun yang berada di belakang lori berkenaan menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kereta.


"Pada masa sama, sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang wanita berusia 30-an datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa yang berada di laluannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Ridzuan berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu kereta Perodua Kancil berkenaan cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi.


"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.


"Pemandu lori serta pemandu kereta Proton Wira dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu Perodua Alza cedera ringan," katanya.


Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


"Orang ramai supaya mengambil langkah pemanduan yang lebih berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan jalan raya," katanya.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!