Pilunya lihat ibu mati di depan mata



Bentong: Pilunya hati seorang kanak-kanak apabila melihat ibunya tersepit di dalam kereta sebelum meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 3, Jalan Bentong-Raub. 


Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa S Puganeswari, 42, meninggal dunia serta-merta di dalam kereta Perodua Myvi dipandunya manakala anaknya yang berusia 11 tahun tidak cedera.


Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, hasil siasatan mendapati sebuah treler dipandu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun dari arah bandar Raub menuju ke arah Bentong dipercayai hilang kawalan.


"Keadaan itu menyebabkan dia terlanggar belakang sebuah kereta Proton Wira dan treler itu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Perodua Myvi.


"Pada masa sama, kereta Proton Wira itu melanggar belakang sebuah kenderaan pelbagai guna Toyota Wish yang berada di hadapannya," katanya.


Beliau berkata, pemandu kereta Perodua Myvi itu berasal dari Bentong dan mayatnya yang tersepit di dalam kereta dikeluarkan anggota bomba.


Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler itu mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine.


Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!