Polis berjaya jejak pemandu Proton Persona



Kuala Kangsar: Polis sudah berjaya menjejaki pemandu kereta yang melanggar penunggang motosikal di KM55, Jalan Ipoh-Taiping, di sini, berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Talang yang video mengenainya tular di media sosial.


Dalam kejadian 5.40 petang kelmarin, penunggang motosikal yang juga remaja berusia 15 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan pada lutut, selain luka pada tangan kiri.


Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai video tular rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan berdurasi 44 saat yang memaparkan kejadian itu pada petang semalam.


Beliau berkata, siasatan awal mendapati remaja itu yang menunggang motosikal Honda dari arah kawasan perumahan Puncak Bougainvillea menuju Taman Lavender, di sini, dihimpit sebelum bergesel pada sisi kiri Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun.


"Ketika itu motosikal ditunggang remaja berkenaan berada di lorong kanan, sebelum Proton Persona yang datang secara tiba-tiba dari arah belakang cuba memotong di sebelah sisi (lorong) kiri lalu menyebabkan berlaku kemalangan.


"Setakat ini, kemalangan dikenal pasti berpunca daripada tindakan kereta itu yang memotong laluan motosikal terbabit secara berbahaya. Pemandu kereta itu bagaimanapun tidak cedera," katanya ketika dihubungi hari ini.


Katanya, bagaimanapun remaja berkenaan yang juga adalah pelajar sekolah menengah dikenal pasti tiada lesen memandu.


Beliau berkata, pihaknya tidak mendapat sebarang laporan mengenai kejadian sejurus selepas kemalangan itu berlaku.


"Namun hanya pada jam 6.50 petang semalam barulah remaja berkenaan hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar untuk membuat laporan kemalangan berkaitan video itu," katanya.


Omar Bakhtiar berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Menerusi video tular itu, sebuah Proton Persona yang mulanya berada di lorong kanan kelihatan cuba memotong sebuah motosikal yang turut berada di lorong kanan dengan memasuki lorong kiri namun selepas itu menghimpit motosikal berkenaan hingga menyebabkan penunggangnya terjatuh.


Kereta itu bagaimanapun tidak berhenti sejurus melanggar mangsa, sebaliknya terus memecut sebelum 'dikejar' oleh sebuah lagi kenderaan yang sedang 'merakam' insiden itu.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!