Sampai rumah isteri dah kaku



Alor Gajah: “Kami ternanti-nantikan saat kelahiran zuriat sulung, namun Allah lebih sayangkan isteri dan anak dalam kandungannya,” kata Zaidi Said selepas isterinya, Nur Aliza Ahmad yang sarat mengandung lapan bulan meninggal dunia dipercayai akibat sawan di Kampung Permatang Darat. 


Dalam kejadian 8.30 pagi itu, Zaidi yang mencari rezeki sebagai nelayan baru pulang dari menghantar bekalan ikan ke kedai runcit di Kuala Linggi, di sini, menemui isterinya terbaring tidak sedarkan diri di atas katil sebelum disahkan meninggal dunia.


Zaidi, 41, berkata, sebelum dia keluar, Nur Aliza, 22, kelihatan gembira dan mengikutnya hingga ke pintu rumah.


“Namun, sebaik pulang, saya dapati rumah sunyi lalu memanggil nama isteri berulang kali, tetapi tidak bersahut. Saya menemuinya terbaring tidak sedarkan diri di atas katil,” katanya yang ditemui. 


Menurutnya, arwah isterinya ada memaklumkan mahu ke Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru untuk pemeriksaan kandungannya.


“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun awal bulan lalu isteri saya pernah tidak sedarkan diri dipercayai akibat sawan dan selepas menerima rawatan keadaannya beransur pulih.


“Apa yang berlaku hari ini (semalam) amat mengejutkan kerana dia tidak sedarkan diri sebelum saya menghubungi Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru,” katanya.


Dia berkata, pemeriksaan doktor mengesahkan Nur Aliza sudah meninggal dunia.


Ibu mangsa, Norlia Md Yassin, 49, berkata, Nur Aliza menghidap sawan sejak kecil namun jarang diserang penyakit itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


- HMetro 



LAZADA 11.11

LAZADA 12.12

50% Diskaun Bagi Barangan Pakaian

Nikmati potongan harga 50% bagi barangan pakaian dan nikmati potongan RM 15 percuma bagi pembelian pertama anda!